top of page
  • admin

Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan aliran meningkat


KUALA LUMPUR, 18 Mac- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan aliran meningkatnya minggu depan susulan kebimbangan terhadap sistem perbankan global ketika ini, kata seorang penganalisis. Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas masih menerima sokongan sebagai aset selamat selepas krisis yang melanda beberapa bank utama di seluruh dunia. “Harga emas kekal kukuh bagi tempoh beberapa minggu selepas peristiwa berisiko besar, jadi saya fikir emas akan terus mendapat sokongan pada minggu depan. “Bagaimanapun, trend itu boleh berubah sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dalam mesyuaratnya pada minggu depan,” katanya kepada Bernama. Bagi minggu yang baru berakhir ini, niaga hadapan emas tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi dengan sejumlah 376 lot direkodkan sepanjang minggu.


Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Mac 2023 meningkat kepada AS$1,935.40 setiap troy auns daripada AS$1,838.70 setiap troy auns pada minggu sebelumnya. Sementara itu, kontrak April 2023, Mei 2023, Jun 2023, Ogos 2023 dan Oktober 2023 semuanya ditutup tinggi pada AS$1,942.00 setiap troy auns daripada AS$1,846.90 setiap troy auns. Harga emas fizikal berada pada AS$1,922.75 setiap troy auns seperti yang diterbitkan oleh London Bullion Market Association pada 16 Mac. -BERNAMA

bottom of page