top of page
  • Farah

Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) bulan September yang lebih tinggi daripada jangkaan dan ini membuktikan senario pemulihan ekonomi yang kukuh di Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.


Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6660/6680 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat 4.6480/6520.


Menurut Jabatan Buruh AS, NFP meningkat sebanyak 263,000 pada September. Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data pengangguran juga merekodkan 3.5 peratus lebih kukuh daripada unjuran jangkaan 3.7 peratus dan ini memberi manfaat kepada dolar AS.


"Bacaan 3.5 peratus adalah yang terendah dalam siri sejarah dan merupakan satu lagi petanda bahawa pasaran pekerjaan AS kukuh," katanya dalam nota hari ini.


Oleh itu, beliau berkata Rizab Persekutuan mungkin menaikkan kadar faedah dalam jangka pendek dan sederhana untuk membendung inflasi kerana kedua-dua data adalah lebih kukuh daripada jangkaan dan ini menjadikan aset pendapatan tetap AS lebih menarik minat pelabur.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.


Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1727/1749 daripada 5.2132/2177 pada penutup Jumaat, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2505 daripada 3.2529/2559 dan mengukuh berbanding euro menjadi 4.5349/5368 daripada 4.5574/5613 minggu lepas.


Nilai ringgit turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2025/2043 daripada 3.2084/2116 penutup sebelumnya.


Pasaran tempatan ditutup pada Isnin sempena cuti gantian untuk sambutan Maulidur Rasul dan kembali diniagakan hari ini.

-- BERNAMA

bottom of page