top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

NUBE terima mediasi UK NCP untuk selesaikan aduan terhadap HSBC Bank Malaysia

4 Oktober 2021

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) Malaysia telah memutuskan untuk menerima mediasi yang ditawarkan oleh UK National Contact Point (UK NCP) bagi menyelesaikan aduan yang difailkan terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad.


Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, ia berdasarkan penilaian awal UK NCP terhadap aduan yang difailkan oleh NUBE dan UNI Global Union terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad.Menurut beliau, mediasi dalam proses UK NCP disediakan oleh pengantara profesional luaran yang dibayar oleh UK NCP.

Objektif mediasi ini tambah beliau, adalah untuk menyelesaikan aduan melalui persetujuan bersama dan perbincangan antara pihak-pihak terbabit. Ini adalah terma rujukan UK NCP.

''NUBE mengalu-alukan keputusan UK NCP, yang merupakan petunjuk asas yang kuat untuk mediasi aduan-aduan yang difailkan oleh NUBE dan UNI Global Union.

''Oleh itu, NUBE dan UNI Global Union akan memberikan kerjasama lebih lanjut kepada UK NCP dan kami optimis bahawa penyelesaian positif dan konstruktif akan dibuat demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan pekerja-pekerja bank di Malaysia,'' katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pada 21 September 2021, UK NCP telah menulis surat kepada NUBE dan HSBC Bank Malaysia Berhad untuk membuat tawaran mediasi yang berada dalam proses UK NCP.

UK NCP telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE dan UNI Global Union terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai sah, dan aduan tersebut akan diteruskan untuk tujuan mediasi.

Objektif mediasi adalah untuk pihak-pihak terbabit mencapai kata sepakat bagi mengatasi dan menyelesaikan aduan yang diterima oleh UK NCP.

Sehubungan dengan itu, NUBE telah menerima tawaran mediasi untuk melihat resolusi demi kepentingan terbaik ahli NUBE.

''Sebagai Kesatuan yang bertanggungjawab, NUBE akan terus mempertahankan hak dan kebajikan para pekerja dalam industri perbankan Malaysia,'' kata Solomon.



* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.

bottom of page