top of page
  • newsatmy

Pelabur asing di Bursa berkurangan

27 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kadar pelabur asing menjual saham di Bursa Malaysia menurun minggu lepas dan menandakan jualan bersih minggu kelima berturut-turut.


Berdasarkan data Bursa, MIDF Research berkata pelabur asing telah menjual RM38.16 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, berbanding RM348.36 juta bersih pada minggu sebelumnya.


Firma itu berkata ketika pasaran dibuka semula Isnin lepas, institusi dan peruncit tempatan adalah pembeli bersih, masing-masing berjumlah RM17.58 juta dan RM31.17 juta.


Pelabur asing adalah penjual bersih berjumlah RM48.75 juta."Pelabur asing adalah penjual bersih untuk majoriti minggu ini kecuali pada hari Rabu dan Khamis.


"Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Selasa iaitu RM124.28 juta," kata firma itu dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini.


Bagi peruncit, MIDF Research berkata mereka adalah pembeli bersih untuk setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Rabu dan Selasa.


Belian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada Selasa (RM48.72 juta).


"Ini tidak mencukupi untuk mendorong pasaran ke kedudukan belian bersih walaupun belian bersih pada hari Isnin, Selasa dan Jumaat.


"Untuk minggu itu, peruncit bersih menjual ekuiti bernilai RM4.19 juta di Bursa. Ini adalah minggu pertama peruncit mencatat jualan bersih selepas sembilan minggu berturut-turut aliran masuk," kata firma itu.


MIDF Research berkata institusi tempatan merekodkan belian bersih terkumpul mingguan sebanyak RM42.36 juta.


Mereka adalah pembeli bersih untuk majoriti minggu ini kecuali pada hari Rabu dan Khamis, dengan belian bersih terbesar pada hari Selasa pada RM75.57 juta.


Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan dengan RM12.44 bilion.


"Institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing berjumlah RM9.27 bilion dan RM3.17 bilion."


Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing merekodkan pergerakan mingguan masing-masing sebanyak 18.98 peratus, 24.17 peratus dan 48.32 peratus dalam purata nilai dagangan harian, tambahnya.

bottom of page