top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pelaburan AT&S Membuka Banyak Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat

11 Jun 2021

PUTRAJAYA: Satu mesyuarat secara maya telah diadakan semalam oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S) yang diketuai oleh Andreas Gerstenmayer, Ketua Pegawai Eksekutif serta barisan utama pihak pengurusan syarikat tersebut. Mesyuarat tersebut turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


AT&S adalah merupakan pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates.


Pada mesyuarat tersebut, syarikat AT&S telah memaklumkan tentang keputusan untuk melabur sebanyak RM8.5 bilion bagi membangunkan fasiliti perkilangan mereka yang pertama di Asia Tenggara, iaitu di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah.


Muhyiddin berkata, beliau difahamkan bahawa pelaburan ini adalah yang terbesar dalam sejarah syarikat AT&S.


Andreas Gerstenmayer turut memaklumkan bahawa pelaburan AT&S di KHTP bagi mengeluarkan high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates akan bermula pada separuh tahun kedua tahun ini, manakala aktiviti komersial pula dijangka bermula pada tahun 2024.


"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia telah menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan syarikat AT&S untuk melabur di Malaysia," kata beliau.


Projek tersebut adalah merupakan salah satu projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).


Dengan pelaksanaan projek itu kelak, ianya dijangka akan dapat menjana 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


"Saya turut memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia adalah amat mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke Malaysia, lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi dan inovasi serta sentiasa bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia,


"Saya telah menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memastikan supaya pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat AT&S akan dapat berjalan dengan lancar," tambah beliau lagi.


Pelaburan daripada AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.


Trend ini konsisten dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2021 seperti yang diumumkan oleh MITI dan MIDA semalam berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan industri primer yang menunjukkan peningkatan 95.6 peratus dari suku yang sama tahun lepas.


"Syukur Alhamdulillah, trend seperti ini menunjukkan bahawa komuniti pelaburan yakin terhadap prospek pemulihan ekonomi negara dan Kerajaan Malaysia akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur dan memperbanyak peluang pekerjaan, sekaligus membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam berhadapan cabaran ekonomi ketika pandemik COVID-19," jelas beliau lagi di posting laman Facebooknya.



--PN Online

bottom of page