top of page
  • newsatmy

Pelbagai usaha perlu dilakukan tingkatkan celik kewangan semasa COVID-19

5 Julai 2021

KUALA LUMPUR - Pelbagai usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya sewaktu keadaan semasa iaitu pandemik Covid-19 yang mewujudkan cabaran ekonomi bukan sahaja di Malaysia malah diserata dunia.


Majlis Tindakan Ekonomi sebelum ini melaporkan bahawa lebih 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah tergolong dalam kategori B40 disebabkan pandemik COVID-19.


Ketua Pegawai Eksekutif Money Compass dan Pengasas ULearnMONEY, Amy Seok berkata rakyat Malaysia telah berdepan cabaran ekonomi dan sebahagiannya pula telah kehilangan kerja akibat pandemik.


Oleh yang demikian, di samping kurangnya kesedaran mengenai kewangan, telah memburukkan lagi keadaan.


"Akibat tahap celik kewangan yang rendah, mereka tidak mempunyai banyak simpanan, namun, pada masa yang sama, mereka mempunyai komitmen seperti pinjaman rumah dan kereta.


"Adalah penting untuk kita menggalakkan rakyat Malaysia agar terlibat dalam pemasaran dalam talian dan sebagainya. Kita harus cuba berbuat sesuatu, lebih daripada apa yang kita lakukan sekarang dan membuat pelbagai kerja untuk kelangsungan hidup dalam situasi semasa," katanya selepas mengumumkan senarai pemenang Pertandingan Video Celik Kewangan uLearnMONEY pada Ahad.


ULearnMONEY adalah platform celik kewangan dalam talian yang menyediakan pendidikan kewangan kepada orang ramai untuk memberi respons terhadap cabaran, pertanyaan dan keraguan mengenai kewangan terutamanya kepada penuntut universiti dan kolej.


Seok berkata, kerajaan perlu mempunyai komunikasi yang efektif dengan masyarakat dalam mewujudkan penyelesaian yang lebih baik bagi meningkatkan tahap celik kewangan.


"Kami juga sedar bahawa golongan muda mula mengalami tekanan kewangan dan mereka adalah antara yang berada dalam kumpulan M40. Kita juga mendapati bahawa mereka juga antara golongan yang telah menaikkan bendera putih," katanya.


Beliau berkata, memupuk tabiat kewangan yang baik kepada generasi muda adalah lebih penting berbanding memberi mereka banyak wang. Ramai rakyat Malaysia masih berusaha menangani cabaran kewangan dalam kehidupan dan kurangnya tahap celik kewangan merupakan asas kepada semua masalah kewangan.


Sementara itu, seramai 40 rakyat Malaysia pelbagai peringkat usia menyertai Pertandingan Video Celik Kewangan uLearnMONEY dengan mencipta video bermaklumat dan kreatif bertemakan celik kewangan.


Semua peserta akan diberikan akses kepada kursus uLearnMONEY bernilai RM300 secara percuma sebagai tanda penghargaan kerana menyertai pertandingan itu.


Juara bagi pertandingan video itu menerima hadiah bernilai RM2,000 iaitu wang tunai RM1,000 dan e-emas RM1,000, manakala naib juara pula menerima hadiah bernilai RM1,000 iaitu wang tunai RM500 dan e-emas RM500.


-PN Online


bottom of page