• admin

Penebusan penuh Sukuk Prihatin, sukuk digital pertama Malaysia - Tengku Zafrul


KUALA LUMPUR,25 Sept: Kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan tempoh matang 2 tahun Sukuk Prihatin, telah ditebus sepenuhnya pada 22 Sept 2022.


Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, terbitan Sukuk Prihatin, yang dilancarkan pada 22 Sept 2020, telah ditambah sebanyak RM166.42 juta ekoran sambutan yang amat menggalakkan.


Katanya ia telah dilanggan oleh 2,436 pembeli individu dan korporat dengan jumlah keseluruhan terbitan sebanyak RM666.42 juta.

"Hasil daripada terbitan itu telah disalurkan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 termasuk pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, bantuan khas untuk pelajar institusi pendidikan tinggi, kempen e-Dagang bagi PKS dan perusahaan mikro serta pelbagai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam dalam usaha membendung pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan semalam.

Tengku Zafrul berkata kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah melanggan sukuk tersebut, khususnya kepada 95 pemegang Sukuk Prihatin yang memilih untuk menyumbangkan amaun prinsipal kepada kerajaan.


"Bagi memartabatkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan akan menyalurkan keseluruhan sumbangan berjumlah RM2.6 juta kepada Akaun Amanah Bencana, yang akan menyokong antara lain, pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam yang rosak serta bantuan kewangan untuk mangsa bencana alam.


"Penghargaan kerajaan bukan sahaja ditujukan kepada semua pemegang sukuk, tetapi juga kesemua ahli Keluarga Malaysia yang telah sama-sama menyokong negara menangani isu kesihatan awam dan ekonomi semasa kemuncak pandemik," katanya.


Sukuk Prihatin ditubuhkan selepas menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk turut bersama-sama membantu dalam usaha pemulihan negara ketika Malaysia dilanda pandemik COVID-19.


Ia telah diiktiraf kerana ciri-ciri inovatifnya yang menggabungkan unsur-unsur digital, pelaburan runcit dan tujuan amal. Ia juga telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Urus Niaga Terbaik Keseluruhan Tahun 2020, Urus Niaga Paling Inovatif Tahun 2020 dan Urus Niaga Terbaik Malaysia Tahun 2020 oleh Islamic Finance News.


Ia turut diiktiraf sebagai Sukuk Digital Terbaik oleh Alpha Southeast Asia di Anugerah Tawaran Solusi Terbaik Tahunan 2020 ke-14.


Maybank merupakan bank pengedar utama Sukuk Prihatin yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Pelabur runcit telah melanggan dengan jumlah serendah RM500 untuk menyokong usaha pemulihan negara.

-- BERNAMA