top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pengambilalihan tidak jejaskan penarafan Bank Pembangunan, Danajamin - RAM

6 Oktober 2021

Pengambilalihan Danajamin Nasional Bhd oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd membolehkan entiti yang diperbesarkan mempunyai impak pasaran yang lebih baik, sekali gus memperkukuhkan kepentingan strategiknya.

Malah, langkah tersebut juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan industri pembangunan kewangan dengan menyelaraskan dasar mandat awam bagi pembangunan institusi kewangan, menurut RAM Ratings.


Agensi penarafan itu berkata, Bank Pembangunan dan Danajamin kini diberi penarafan AAA/Stabil/P1 dan penilaiannya sudah menggambarkan sokongan padu kerajaan dengan peranan setiap entiti dalam memenuhi agenda pembangunan negara.


"Sekiranya dilaksanakan dengan baik, pengambilalihan ini akan memberi kelebihan sinergi dengan saling melengkapi peranan entiti," katanya dalam kenyataan.

Pada 30 September lalu, Bank Pembangunan memeterai perjanjian dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) bagi mengambil alih 100% saham Danajamin Nasional.

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka sederhana kerajaan untuk memperkukuhkan dan menyelaraskan mandat Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) bagi mengukuhkan ekosistem kewangan pembangunan negara.

Fasa pertama rancangan itu akan menyaksikan BPMB mengambil alih semua saham Danajamin dari pemegang sahamnya sekarang, iaitu CGC dan MOF Inc, menjadikan Danajamin sebagai anak syarikat milik penuh BPMB.

Bank Pembangunan berperanan menyediakan pembiayaan sederhana dan jangka panjang kepada sektor penting dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Sementara itu, Danajamin merupakan penerbit jaminan kewangan negara yang tanggungjawab mengembangkan pasaran modal hutang menerusi peningkatan kredit untuk terbitan bon dan sukuk.

Perjanjian itu dijangka dimuktamad sejurus selepas selesainya audit sementara, yang berkemungkinan besar pada November ini.

RAM Ratings menjangkakan langkah pengambilalihan itu memberi impak minimum kepada permodalan Bank Pembangunan.

Bank Pembangunan bagi tier-1 dan nisbah jumlah modal masing-masing kukuh pada 33.4% dan 42.6% setakat akhir Jun 2021.


"Oleh itu, kami tidak menjangkakan langkah korporat ini akan menjejaskan penarafan AAA/Stabil bagi Nota Jangka Sederhana Konvensional RM7 bilion dan atau Program Murabahah MTN Islamik (2006/2036).

"Begitu juga, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan kepada penilaian AAA/Stabil dan AA1/Stabil masing-masing untuk Sukuk Subordinat dan Senior di bawah Program Sukuk Murabahah Danajamin bernilai RM2 bilion," jelasnya.



bottom of page