top of page
  • Writer's pictureNihaba

Pengeluar gula, MSM ke arah kerugian pada tahun kewangan 2022


KUALA LUMPUR 23 Feb: MSM Malaysia Holdings Bhd mengalami kerugian bersih sebanyak RM178.71 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 berbanding keuntungan bersih RM125.35 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya selepas diheret oleh kos input yang tinggi daripada gula mentah, gas asli dan ringgit yang agak lemah.


Pengeluar gula bertapis dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM2.57 bilion pada tahun kewangan 2022 daripada RM2.26 bilion berikutan peningkatan dalam purata harga jualan keseluruhan.


Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2022, MSM menyaksikan kerugian bersihnya melebar kepada RM44.16 juta daripada RM16.16 juta, manakala hasil menokok kepada RM677.74 juta berbanding RM642.02 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Feizal Syed Mohammad ketika mengulas mengenai prestasi suku keempat tahun kewangan 2022 berkata jumlah jualan merosot empat peratus berbanding suku keempat tahun kewangan.


"Walaupun jumlah borong menokok sebanyak 18 peratus sejajar dengan permintaan yang lebih tinggi, dan jumlah industri naik sebanyak tujuh peratus, jualan eksport MSM telah menurun 41 peratus disebabkan tumpuan yang diberikan kepada pesanan domestik bagi mengatasi kekurangan gula tempatan," katanya dalam kenyataan berasingan kepada bursa itu.


Beliau berkata sejak 10 tahun lepas, kilang penapisan gula telah beroperasi tanpa subsidi dan hanya menerima kenaikan harga yang agak kecil iaitu sebanyak satu sen sekilogram dan harga terkawal semasa RM2.85 sekilogram adalah jauh lebih rendah daripada di Thailand (RM3.50 sekilogram) termasuk di negara-negara Asia lain dengan harga runcit antara RM4.50 sekilogram hingga RM6.50 sekilogram.

"Sebagai industri bersama, kami telah berhubung dengan kerajaan sejak Mei 2021 untuk mendapatkan sokongan dalam cadangan semakan harga baharu atau subsidi, kami juga bersedia untuk beroperasi secara harga terapung tetapi meminta campur tangan tertunggak daripada kerajaan," katanya.


Melangkah ke hadapan, MSM walaupun menjangkakan kos input yang tinggi akan terus menghalang peningkatan prestasi kewangannya, kumpulan akan kekal fokus untuk meningkatkan harga jualan purata dan mencapai kos penapisan yang lebih rendah.

-- BERNAMA


bottom of page