top of page
  • newsatmy

Penggiat industri pelancongan Miri, kumpulan terbaharu terima bantuan MOTAC

5 April 2022

MIRI: Seramai 16 penggiat industri pelancongan dan seni di sini yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menjadi kumpulan terbaharu menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membolehkan mereka bangkit seiring dengan pembukaan semula sempadan negara Jumaat lepas.


Bantuan yang disampaikan menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam Sesi Jerayawara Geran-Geran di Bawah Pelan Pemulihan Pelancongan petang Isnin disalurkan kepada lima pemandu pelancong, lima syarikat Pengendali Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB), sebuah syarikat pengendali program Malaysia My Second Home (MM2H) dan lima pengusaha inap desa.


"Melalui inisiatif-inisiatif yang diberikan ini, MOTAC berharap ia dapat membantu dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penggiat industri pelancongan, seni dan budaya dalam merancakkan semula ekonomi pasca COVID-19," katanya.

Menurutnya sesi jerayawara di sini merupakan yang ke-14 dilaksanakan oleh MOTAC bagi memberikan penjelasan berhubung geran-geran sepadan yang disediakan kementerian itu untuk penggiat pelancongan berkaitan.


Penjelasan ini melibatkan garis panduan permohonan geran kepada penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang melibatkan empat geran antaranya Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang secara keseluruhan berjumlah RM50 juta.

bottom of page