• Arissa

Peningkatan vaksinasi mudahkan pembukaan semula ekonomi suku ke-4 - Tengku Zafrul

2 September 2021

PUTRAJAYA: Peningkatan vaksinasi dijangka menjadi faktor yang memudahkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi pada suku keempat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan faktor tersebut, RAM Rating Services Bhd (RAM Rating) telah mengekalkan unjuran 2021 bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.


Selain itu, agensi penarafan itu menganggarkan pertumbuhan KDNK antara tujuh hingga lapan peratus bagi 2022, sementara pengeluaran secara keseluruhan bagi 2022 dijangka pulih melebihi paras yang dilihat pada 2019.


“Diandaikan kira-kira 4.8 hingga 5.8 peratus lebih tinggi.


“Ini berdasarkan pemulihan permintaan global berterusan terutamanya permintaan berlebihan untuk semikonduktor yang dijangka meningkatkan prestasi pengeluaran Malaysia tahun depan.


“Selain itu, pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi dan penggunaan kapasiti ganti domestik secara berperingkat yang akan meningkatkan pertumbuhan asas,” katanya hari ini.


Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-66, hari ini.