• newsatmy

Perodua kekalkan sasaran jualan pada 240,000 unit bagi 2021

9 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Pembuat kenderaan kompak, Perodua, yang menjual 96,281 unit kenderaan dalam tempoh lima bulan pertama 2021, mengekalkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit bagi 2021 walaupun mengharungi situasi pandemik selain masalah kekurangan semikonduktor.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata jualan Perodua bagi tahun ini setakat Mei adalah 96,281 unit, mewakili peningkatan 82 peratus daripada 52,920 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas dengan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di antara Mac hingga Mei.


Beliau berkata pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, dengan Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun tersebut, iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun ini.


"Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.


"Walaupun menghadapi cabaran tersebut, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian lain, kami percaya Perodua mampu mencapai sasaran 240,000 unit tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Zainal Abidin berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, sekali gus membantu Perodua menampung permintaan, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.


Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan pergerakan kali ini, beliau berkata para pelanggan boleh menghubungi pusat servis berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.


Perodua telah membuat 18,283 unit kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya bagi 2021 setakat ini sebanyak 98,944 unit.


-- BERNAMA