top of page
  • zaman

Pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia susut pada Ogos, PMI merosot kepada 50.3


KUALA LUMPUR,1 Sept: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan SP Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim merosot kepada 50.3 pada Ogos berbanding 50.6 pada Julai, sekali gus menunjukkan peningkatan yang perlahan dalam sektor itu.


SP Global Market Intelligence berkata angka terkini itu mencerminkan pengeluaran pembuatan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang mengalami kelembapan beransur-ansur menjelang akhir suku ketiga 2022 berikutan peningkatan yang berterusan sepanjang suku kedua tahun ini.


Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan Chris Williamson dalam kenyataan hari ini berkata sektor pembuatan Malaysia menunjukkan keadaan perniagaan lebih baik kali ke-10 pada Ogos, walaupun ternyata masih berdepan tekanan ekoran kekurangan bahan mentah dan buruh, kenaikan harga serta permintaan yang perlahan, terutamanya dari luar negara. Malah, terdapat isyarat bahawa kekangan bekalan mula berkurangan, manakala tekanan harga semakin reda.

“Walaupun permintaan bagi eksport merosot, Ogos menyaksikan kadar peningkatan yang kecil bagi tempahan baharu, yang semestinya mendorong pertumbuhan pengeluaran lebih memberangsangkan pada September.


“Ini disokong prospek cerah yang digambarkan dengan keyakinan yang meningkat dalam perniagaan, mencatatkan kenaikan pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan,” menurut Williamson.


SP Global Market Intelligence berkata angka keseluruhan yang lemah pada Ogos disumbangkan terutamanya oleh jumlah output yang sederhana.


Menurutnya, biasanya firma mengaitkan pengeluaran yang perlahan dengan kesukaran menerima imput di tengah-tengah kelewatan penghantaran yang berlanjutan meskipun tidak seteruk bulan-bulan sebelum ini.


Pada masa depan, SP Global Market Intelligence berkata pengeluar Malaysia kekal optimis terhadap unjuran output dan berharap permintaan akan terus meningkat apabila pandemik berupaya dikawal sepenuhnya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page