top of page
  • zaman

Petronas Chemicals selesai ambil alih Perstorp


KUALA LUMPUR,13 OKT: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah menyelesaikan usaha pengambilalihan syarikat bahan kimia khusus global berpangkalan di Sweden, Perstorp Holding AB (Perstorp) pada RM7.31 bilion.


Pengambilalihan itu dijangka mempercepat kepelbagaian portfolionya dan usaha niaga dalam bahan kimia khusus, menurut kumpulan dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata pembelian itu adalah sebahagian daripada strategi pemantapan kumpulan, mewujudkan satu platform baharu bagi pertumbuhan dalam industri bahan kimia khusus.

"Ia turut melepasi potensi pendapatan. Perstorp adalah pelengkap strategik dengan nilai yang sama serta pekerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri," katanya.

Pada Mei, PCG memeterai satu perjanjian pembelian sekuriti dengan Financiere Foret S.a.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang juga firma ekuiti swasta Eropah bagi memperoleh seluruh kepentingan ekuiti dalam Perstorp.


Mohd Yusri berkata, kumpulan berhasrat untuk terus memelihara dan meningkatkan nilai Perstorp berikutan tempoh yang penting bagi kedua-dua syarikat itu dalam masa beberapa tahun lagi dengan hasrat untuk meluaskan kehadiran Perstorp di persada dunia menerusi pengukuhan kedudukannya, antaranya di pasaran Asia Pasifik.


Beliau menjelaskan, Perstorp mempunyai beberapa projek yang akan bermula dalam masa terdekat termasuk pelancaran Project Air bagi mengurangkan pelepasan karbon menerusi penghasilan metanol mampan.


"Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah (EU) memilih Project Air sebagai satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar," katanya sambil menyatakan EU melabur lebih 1.8 bilion euro dalam projek teknologi bersih itu.


Mohd Yusri menegaskan Project Air adalah pencetus perubahan bagi industri bahan kimia, beralih daripada bahan mentah fosil kepada stok suapan berasaskan bio dan kitar semula.

"Dengan keupayaan penuh, ia akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida global sehingga hampir 500,000 tan pada setiap tahun berbanding paras pada masa ini, bersamaan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden," katanya.


Mohd Yusri berkata inisiatif Neutral Bahan Terhingga Perstorp akan berperanan sebagai pemangkin terhadap projek PCG ke arah mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page