top of page
Writer's pictureNizam

PETRONAS dijangka bayar dividen RM25 bilion

3 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kedudukan tunai PETRONAS meletakkan syarikat petroleum nasional itu dalam landasan tepat untuk melunaskan pembayaran dividen berjumlah RM25 bilion tahun ini.


Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, berkata tunai bersih PETRONAS meningkat tujuh peratus pada suku ketiga kepada RM64 bilion yang dipacu aliran tunai operasi lebih kukuh yang melonjak 19 peratus berbanding suku terdahulu.

"Bagi memenuhi sasaran dividennya sebanyak RM25 bilion, baki RM9 bilion lagi bakal dibayar menjelang suku keempat 2021," katanya dalam satu nota penyelidikan.

PETRONAS kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM35.2 bilion bagi sembilan bulan 2021 berbanding kerugian RM19.9 bilion pada sembilan bulan 2020.


Dengan mengecualikan kerugian rosot nilai bersih bagi aset, keuntungan bersih masih melonjak 2.4 kali ganda, iaitu sejajar dengan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih tinggi (meningkat 67 peratus) dengan harga produk yang lebih baik.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan sasaran positif terhadap sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia selepas PETRONAS meraih keuntungan yang lebih sejajar dengan prestasi rakan setara globalnya.


Firma penyelidikan itu , keuntungan bersih teras PETRONAS meningkat 76 peratus kepada RM13 bilion pada suku ketiga 2021 berbanding suku terdahulu, menjadikan pendapatan teras terkumpul sembilan bulan kepada RM27 bilion, peningkatan tahunan sebanyak 148 peratus.

Katanya, pengukuhan dalam tempoh suku ke suku turut mencerminkan landskap pasaran yang bertambah baik, dengan harga minyak Brent meningkat sebanyak tujuh peratus dalam tempoh itu kepada AS$74 setong selain pemulihan dalam permintaan.

"Prospek bagi ganjaran risiko PETRONAS juga bertambah baik dan ini petanda baik bagi penyedia perkhidmatan O&G serta kerajaan. Disiplin modal akan kekal penting berikutan ketidaktentuan pasaran dan peningkatan kos.

"Tinjauan aktiviti akan datang untuk 2022 hingga 2024 akan terus diteliti, kerana ia menawarkan pandangan berhubung rancangan domestiknya," katanya.


Maybank IB turut mengekalkan pendirian 'beli' terhadap Yinson, Dialog, Velesto, WSC, MMHE, BArmada dan Icon sebagai saham pilihannya.

AmInvestment Bank Bhd (AmInvest) pula mengekalkan saranan 'Overweight' ke atas sektor O&G.


Firma itu juga mengekalkan unjuran harga minyak bagi tahun 2021 hingga 2022 pada AS$70 hingga AS$75 setong memandangkan harga minyak mentah Brent jatuh daripada paras tertinggi tujuh tahun AS$85 setong pada pertengahan Oktober tahun ini kepada di bawah AS$70 setong berikutan kebimbangan yang impak varian Omicron COVID-19 mungkin sekali lagi boleh menjejaskan permintaan global.

"Walaupun pemberian vaksin global semakin meningkat, kami agak bimbang dengan kemunculan varian virus baharu, kemungkinan minyak mentah Iran memasuki semula pasaran global, lantunan semula dalam pengeluaran syal AS serta kelonggaran selanjutnya kuota pengeluaran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC)," katanya.-BH

Comentarios


bottom of page