top of page
Writer's pictureMatha Ahmad

PETRONAS melabur modal RM20 billion setahun

18 Oktober-KUALA LUMPUR

PETRONAS memperuntukkan purata RM20 bilion bagi perbelanjaan modal setiap tahun dalam aktiviti huluan antara 2022 dan 2027, kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Adif Zulkifli.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini, Adif berkata peruntukan itu adalah pada paras yang baik untuk mengembangkan pengeluarannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kami berharap akan dapat menjana aliran tunai (yang baik) daripada pengeluaran yang dilaksanakan. Pengeluaran khususnya adalah daripada gas. Kami sudah mempunyai beberapa projek dalam tangan (di peringkat domestik).


"Di peringkat antarabangsa, kami juga sedang meningkatkan projek di Kanada dan Argentina," jelasnya, sambil menambah bahawa kira-kira 40 peratus perbelanjaan modal akan digunakan bagi aktiviti huluan antarabangsa.


Jumlah purata pengeluaran harian PETRONAS setakat suku kedua 2021 adalah 2.345 juta tong bersamaan minyak (boe) sehari.


Syarikat minyak nasional itu mengunjurkan peningkatan pengeluaran tahunan antara satu hingga lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, yang akan disumbangkan oleh operasi domestik serta antarabangsa.


Bagi 2021, PETRONAS menyasar untuk membelanjakan antara RM16 bilion dan RM17 bilion bagi aktiviti huluan.

Ditubuhkan pada 1974, PETRONAS kini mempunyai kehadiran di lebih 50 negara.

Mengenai kenaikan harga minyak kebelakangan ini, Adif berkata ia disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi secara berperingkat pasca pandemik COVID-19, namun ini akan bersifat sementara dan harga minyak akan bergerak sederhana terutama selepas bekalan menghampiri permintaan.

"Realitinya, terdapat begitu banyak kapasiti bekalan (terutama dalam kalangan negara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum atau OPEC).

"Harga minyak yang tinggi ini disebabkann OPEC dapat mengawal bekalan dengan ia mengeluarkannya secara beransur-ansur dari semasa ke semasa.

"Pada harga tertentu, kami berpandangan akan ada lebih banyak bekalan (khususnya daripada pengeluar minyak syal di Amerika Utara)," katanya.

Beliau berkata, PETRONAS menjangkakan harga minyak tidak melepasi paras AS$100 setong.

"Kami yakin harga akan bergerak di antara AS$50 dengan AS$60 setong selepas ini," katanya.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 1.20 peratus kepada AS$85.88 setong.

-BERNAMA

Comentários


bottom of page