top of page
  • newsatmy

Pindaan Akta Persaingan 2010 untuk kawal monopoli perniagaan

2 April 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memandang serius isu monopoli dan persaingan terutama melibatkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan meliputi rentas sektor ekonomi di negara ini yang memberi kesan negatif kepada pengguna terutama golongan rentan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, isu kenaikan harga dan pilihan terhad hasil daripada aktiviti penggabungan dan pengambilalihan yang tidak dikawal selia dengan teliti adalah antara isyarat jelas yang perlu diberi perhatian segera oleh semua pihak. Jelas beliau, perkara itu penting bagi menjamin keadilan sosial pengguna dalam jangka masa panjang agar tidak terkesan dengan aktiviti monopoli penggabungan dan pengambilalihan yang tidak terkawal. Alexander juga menjelaskan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan yang tidak terkawal juga boleh menggugat pesaingan dalam pasaran malah mampu mengurangkan pesaingan secara substantial dalam pasaran.

Tegas beliau, hal ini turut mampu memberi kesan unilateral dan kesan koordinasi dalam pasaran yang akhirnya memberi kelebihan kepada perusahaan untuk mempengaruhi harga dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran.

"Oleh yang demikian hal ini perlu diambil serius oleh semua pihak bagi memastikan aspirasi persaingan dalam pasaran dapat dipelihara dengan baik.

"Justeru MyCC sedang giat menjalankan aktiviti meminda Akta Persaingan 2010 iaitu Akta 712 bagi memperkenalkan regim kawalan pengabungan dan pengambilalihan dan menambah baik beberapa perundangan berkaitan dengan memastikan penguatkuasaan akta persaingan 2010 yang lebih inklusif dan menyeluruh," katanya kepada Astro AWANI.

Alexander juga menjelaskan, proses pindaan akta ini adalah jelas untuk memperkasakan Akta Persaingan 2010 dan ia selaras dengan fokus kerajaan yang mahu memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barangan secara keterlaluan dalam masa pandemik yang jelas memberi kesan negatif kepada pengguna.

"Pindaan akta ini jelas mampu memberi kesan kepada MyCC terutama untuk menjalankan mandat dengan lebih inklusif dan menyeluruh menepati aspirasi kerajaan yang mahu menyediakan pasaran yang kompetitif yang mampu memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan dalam jangka masa panjang," katanya lagi.

Ketika ini MyCC sudah memulakan proses meminda Akta Persaingan 2010 untuk memperkenalkan kuasa kepada agensi tersebut bagi mengawal penggabungan dan pengambilalihan syarikat yang akan membentuk entiti monopoli dalam negara.

Alexander menjelaskan pihaknya merancang untuk membentangkan pindaan akta tersebut pada hujung tahun ini.


- Astro Awani

bottom of page