• newsatmy

PKNS lancar 12 projek pembangunan dengan GDV RM690 juta

27 Januari 2022

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 12 projek pembangunan baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM690 juta pada tahun ini.


Projek tersebut melibatkan 44% pembangunan komersial, 13% kediaman dan 43% campuran di atas tanah berkeluasan sejumlah 5.972 ekar di sekitar pintu masuk ekonomi di Klang, Bernam Jaya dan Hulu Langat.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya yakin dapat menyasarkan jualan sebanyak RM584 juta tahun ini meliputi pembinaan lebih 160,000 unit kediaman di atas tanah seluas 64,500 ekar dan pembangunan perindustrian, 11,885 ekar.

Jelasnya, pihaknya menetapkan matlamat jelas dalam usaha mencipta kehidupan lebih baik untuk semua lapisan masyarakat.


"Dalam mengejar impian ini, kami menjadikan komitmen harian untuk menambat hati semua daripada segi tadbir urus yang baik, komitmen terhadap alam sekitar, serta pertumbuhan sosial dan ekonomi negeri dan negara.


"Kami teruja untuk melancarkan rancangan pembangunan kami untuk 2022 dan melihat pertumbuhan ekonomi dan sosial di negeri Selangor," katanya dalam sidang akhbar PKNS Outlook 2022, hari ini.


Mahmud berkata, PKNS menekankan komitmen untuk mempertingkatkan perbandaran dan pembangunan sedia ada.


“Selain pembangunan baharu, PKNS bersemangat untuk memperbaharui pembangunan sedia ada dengan memperkenalkan konsep baharu, mengubah guna ruang, menyuntik reka bentuk kontemporari, dan memulihara permata semula jadi.


Datuk Mahmud Abbas (kiri) ketika sidang akhbar PKNS Outlook 2022 di Shah Alam, pada Rabu.


"Kami percaya perkembangan kami akan terus mengujakan masyarakat, sama ada pembeli rumah atau usahawan dan memartabatkan negeri sebagai hab yang menarik untuk pelabur," katanya.


Katanya, PKNS akan terus meningkatkan strategi jualan, pemasaran dan komuniti dalam memastikan pihaknya terus kekal dalam sektor hartanah untuk tempoh jangka masa panjang.


"Strategi ini meliputi diskaun projek pembangunan baharu, meningkatkan pasukan jualan, kerjasama dengan bank, termasuk program rujukan, menaik taraf galeri jualan dan pemasaran digital dalam usaha meningkatkan jualan hartanah," katanya.


Untuk rekod, sehingga 31 Disember tahun lepas, PKNS telah merekod jualan sebanyak RM900 juta melibatkan unit kediaman, hartanah komersial dan lot tanah dalam keadaan pandemik dan pasaran yang mencabar.


Portfolio PKNS terdiri daripada gabungan pembangunan kediaman mampu milik, sederhana hingga mewah, berharga dari RM400,000 hingga RM1 juta bagi memenuhi keperluan pembeli rumah yang pelbagai di negeri itu.


PKNS telah melancarkan lebih 4,000 rumah mampu milik di bawah rangkaian Rumah Selangorku.


Di sebalik keadaan pasaran yang mencabar, PKNS menyaksikan permintaan yang semakin meningkat di rumah kelas pertengahannya terbukti dengan kadar pengambilan yang menggalakkan untuk Rafflesia (Bernam Jaya); Puteri Daffina X (Kota Puteri); Antara Gapi; Selangor Cyber ​​Valley and Residensi Aurora.