top of page
  • Writer's pictureNizam

PNB perkenalkan pelaburan Wakaf ASNB

29 Oktober

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) kini memperkenalkan perkhidmatan baharu, Wakaf ASNB.

Perkhidmatan ini menggabungkan konsep pelaburan dunia dan akhirat bagi membolehkan pemegang unit ASNB mewakafkan unit amanah mereka bagi manfaat kepada komuniti secara berterusan.


Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, Wakaf ASNB berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan simpanan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.


Beliau berkata, pulangan tersebut kemudian akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

“Pengenalan wakaf ASNB merupakan langkah proaktif PNB bagi memperkasakan pengurusan wakaf di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional.

“Perkhidmatan ini juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan pelbagai termasuk kemudahan pewarisan melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pulangan daripada dana wakaf akan disalurkan kepada projek-projek wakaf berkaitan pembangunan ummah dan peningkatan sosio ekonomi mayarakat.

Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbiran aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB).


Pelantikan ini membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek-projek pembangunan ummah dan masyarkat bagi pihak pewakaf.

Semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB tanpa mengira kaum kini boleh mewakafkan unit amanah menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB di semua cawangan ASNB di seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November ini bagi semua dana ASNB, manakala ASN Imbang 1 bermula 1 Disember depan.

Untuk maklumat lanjut berhubung perkhidmatan wakaf ASNB, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB ditalian 03-7730 8899 atau layari laman web rasmi ASNB di www.asnb.com.my-Astro Awani


bottom of page