top of page
  • newsatmy

Projek ECRL capai kemajuan hampir 30 peratus

13 Februari 2022

KUALA TERENGGANU: Pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Dis 2026 sudah mencapai kemajuan sebanyak 27.19 peratus.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata setakat ini projek tersebut berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kelewatan disebabkan masalah teknikal.


"Memang kita alami kelewatan, tetapi dengan perkembangan sekarang kita boleh kejar balik. Secara keseluruhannya ia boleh capai kemajuan lebih baik pada tahun ini.

"InsyaAllah untuk jajaran Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor iaitu jajaran Seksyen A, B dan C1 akan siap pada Dis 2026 dan beroperasi pada 1 Jan 2027," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Tanggungjawab Sosial Korporat) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Diraja Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Kadir di sini hari ini.


Tambah beliau, setakat ini kerja-kerja pengambilan tanah bagi projek ECRL di Terengganu dan Pahang juga berjalan lancar dan sudah mencapai tahap 89 peratus dan dijangka selesai pada 2023.


"Oleh itu saya mengharapkan komitmen semua pihak khususnya kerajaan negeri bagi melancarkan projek dan memastikan ia siap pada 2026 iaitu mengikut jadual," katanya.



-- BERNAMA

Comentários


bottom of page