top of page
  • newsatmy

Projek penanaman guarana secara komersial tidak pernah dibenarkan - Jabatan Pertanian

13 April 2022

KUALA LUMPUR: Jabatan Pertanian Malaysia tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana, untuk dikomersialkan di negara ini.


Jabatan itu dalam kenyataan semalam memberitahu, ia berikutan larangan pengimportan guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana (juga P.crysan, P.sorbilis; Keluarga: Sapindaceae) bagi tujuan penanaman oleh Brazil, dan impak negatifnya kepada industri getah negara.


"Ini adalah kerana, sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan, adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

"Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain, seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana, maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia," katanya.


Selain itu, mana-mana pihak yang menanam guarana, berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh kerajaan Brazil sekiranya tanaman itu dibiakkan dan dikomersialkan daripada biji benih, yang dibawa masuk secara tidak sah.


Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti, sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).


"Jabatan Pertanian telah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFICIO No5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Jan 2020, bahawa Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja," menurut kenyataan itu.


Larangan itu termaktub di bawah undang-undang Brazil; Law No. 13,123 / 15, May 20, 2015 (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).


Menurut jabatan itu, berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB), iaitu oleh kulat Microcyclus ulei (syn. Pseudocercospora ulei) kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.


"Lembah Amazon merupakan kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB), yang amat tinggi.


"Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut, dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif seterusnya keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara, yang bernilai lebih RM18 bilion setahun," katanya.


Jabatan itu memaklumkan penyakit itu telah mengakibatkan kegagalan industri getah di Brazil, dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

bottom of page