• newsatmy

Raih RM164,000 hasil tanam serai

18 April 2021

BALING- Projek Tanaman Serai melalui Program Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melibatkan keluasan 7.7 hektar di daerah ini mampu meraih hasil sebanyak 82 tan metrik dengan nilai mencecah RM164,000 semusim.


Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek membabitkan lapan peserta dari Kampung Charuk Bakung seluas 3.44 hektar, Kampung Baru seluas 1.72 hektar, Kampung Seberang (0.86 hektar) dan Kampung Weng Dalam (1.72 hektar) mampu meningkatkan pembangunan sosioekonomi penduduk.


Menurutnya, program itu adalah inisiatif baharu KPLB melalui kerjasama 14 rakan strategik termasuk syarikat korporat dan swasta serta pelaksanaan agensi bawah KPLB.


“Antaranya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). Kerjasama ini turut dibangunkan di Pulau Langkawi, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar.


“Saya melihat ia usaha yang sangat membantu masyarakat luar bandar kerana mudah untuk diusahakan dan tidak perlu penjagaan rapi seperti tanaman fertigasi lain, contohnya cili dan sebagainya.


“Selain itu, serai sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran yang membawa hasil agak baik kerana harga jualan mencecah lebih kurang RM2 sekilogram,” katanya ketika meninjau ladang serai di Kampung Wang Dalam di sini pada Khamis.


Abdul Rahman berkata, usaha itu boleh diperluaskan lagi di kawasan tanah terbiar di seluruh negara bagi menjana pendapatan, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.


Fokus

Menurutnya, KPLB berusaha membantu masyarakat luar bandar, khususnya dari segi ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan, antaranya penubuhan Maktab Rendah Sains Mara, UniKL, German-Malaysian Institute serta pelbagai institusi pendidikan, selain memfokuskan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi penduduk.


Sementara itu, Ketua Projek Penanaman Serai, Mohd Hassan Aziz berkata, penanaman serai bermula Oktober 2020 melibatkan dua peserta dari Kampung Weng Dalam, manakala enam lagi peserta dari tiga kawasan lain berada dalam Kampung Dalam Wang.


“Kami menjangkakan hasil dapat dituai tahun ini. Ia akan dipasarkan di sekitar daerah ini dan bersedia untuk dipasarkan ke tempat lain mengikut permintaan,” katanya.


Bagi penoreh getah, Mohd Hanafi Md Zaik, 39, projek berkenaan memberi impak besar dalam kehidupannya.


“Sebelum ini saya hanya memperoleh pendapatan tidak menentu sekitar RM500 sebulan tetapi kini boleh mencecah RM7,000 semusim sekiranya serai mencapai tempoh matang dan boleh dijual,” katanya.


Bekas tentera, Ratna Timour Talif, 47, pula berkata, kebun serai yang diusahakan bersama adik dan bapa melibatkan 80,000 pokok serai dan mampu menjana pendapatan sehingga RM20,000 pada Ogos.


Dalam perkembangan berlainan, Abdul Rahman turut melawat Projek Bengkel Jahitan Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) Baling.


Peserta bengkel jahit, Noriza Osman, 44, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menyertai projek berkenaan yang mampu membantu menjana pendapatan keluarga.


Bekas pekerja kilang, Che Norashikin Che Anuar, 20, pula berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan dia hilang pekerjaan, namun gembira apabila ditawarkan menjadi sebahagian peserta bengkel jahitan Kemas Baling.


“Mula-mula tidak pandai menjahit tetapi setelah dilatih dan diberi kemahiran baharu, alhamdulillah saya dah boleh menjahit bersama peserta lain,” katanya.


Seramai 14 peserta bengkel jahitan diberikan pendedahan dan latihan oleh syarikat swasta bagi meningkatkan kemahiran, sekali gus menambah peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar.


Sebanyak 18 peralatan mesin termasuk mesin jahit lurus, mesin jahit tepi dan ‘steam press’ telah disumbangkan syarikat Berjaya Corporation Berhad, manakala TNB pula menyumbang dana untuk menaik taraf bengkel jahitan.


-Sinar Harian