top of page
  • admin

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR, 6 April- Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Khamis. Pada pukul 9.00 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.4030/4070 berbanding dolar AS daripada kadar penutup urus niaga Rabu pada paras 4.3970/4020. Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) melantun semula sebanyak 0.32% kepada 101.91 mata. “Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat bagi sektor perkhidmatan pada Mac menyusut kepada 51.2 mata daripada 55.1 mata sebelum ini berbanding anggaran konsensus pada 54.5 mata. "Begitu juga, perubahan guna tenaga ADP yang mengukur penghasilan pekerjaan dalam sektor swasta turun menjadi 145,000 pada Mac (Februari: 242,000) berbanding jangkaan pasaran 200,000," katanya kepada Bernama. Mata wang utama lain seperti Euro dan pound Britain (GBP) juga lebih rendah berbanding dolar AS, masing-masing turun 0.01% dan 0.31% kepada AS$1.09 dan AS$1.24. "Sehubungan itu, gandingan ringgit dolar (USD/MYR) boleh berlegar sekitar RM4.40 hari ini kerana peserta pasaran mungkin lebih berhati-hati. "Setakat ini, data daripada indeks PMI menunjukkan ekonomi global semakin lemah, membayangkan bank-bank pusat boleh beralih untuk memihak kepada pertumbuhan ekonomi dalam tempoh akan datang," tambah Mohd Afzanizam. Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.7962/8005 daripada 4.8156/8211 pada penutup Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4804/4854 daripada 5.4879/4941 tetapi menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3567/3600 daripada 3.3399/3440 sebelumnya.


Berbanding mata wang ASEAN pula, ringgit diniagakan bercampur-campur. Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3135/3170 daripada 3.3165/3205 pada penutup Rabu dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9439/9618 daripada 12.9782/9991 sebelumnya. Bagaimanapun, ringgit turun berbanding peso Filipina pada 8.09/8.10 daripada 8.08/8.09 semalam dan lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 294.80/295.20 daripada 294.40/294.90. -BERNAMA

bottom of page