top of page
  • Writer's pictureNizam

Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini

13 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit tidak berubah berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi Isnin selepas pasaran agak goyah sambil menantikan keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadual pada 14 dan 15 Dis ini, kata seorang penganalisis.


Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.2100/2135 berbanding dolar AS daripada 4.2100/2150 pada penutupan Jumaat.


Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata semua mata tertumpu kepada mesyuarat FOMC yang mana Rizab Persekutuan akan mengongsikan unjuran suku tahunan terkini mereka. "Pada suku ketiga 2021, Fed menyemak naik keluaran dalam negara kasar 2022 dan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras, masing-masing kepada 3.8 peratus dan 2.3 peratus," katanya kepada Bernama.


Justeru, beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat kecil antara RM4.21 hingga RM4.22 hari ini.


Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan susut nilai berbanding euro kepada 4.7607/7646 daripada 4.7497/7554 pada penutupan Jumaat lalu dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0865/0895 daripada 3.0815/0854.


Ringgit turut lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7083/7117 daripada 3.7034/7081 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5791/5837 daripada 5.5576/5642 sebelumnya.





-- BERNAMA

Comments


bottom of page