top of page
  • zaman

Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal


KUALA LUMPUR,12 Sept: Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan sentimen yang terus menyokong mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4970/5010 berbanding dolar AS daripada 4.4965/4990 pada Jumaat.


Dalam nota penyelidikan, Kenanga Investment Bank Bhd berkata walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berturut-turut dan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas oleh Bank Pusat Eropah (ECB) yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ringgit terus rendah berbanding dolar AS yang mengukuh.

Pasangan dolar/ringgit melepasi paras psikologi pada 4.50 buat kali pertama dalam tempoh lebih 24 tahun pada 7 Sept berikutan indeks dolar AS melonjak melebihi paras 110.0 susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell yang menyokong kadar faedah tinggi.


Mata wang tempatan turut menerima tekanan daripada angka dagangan China yang lemah, katanya.


Bagaimanapun, katanya ringgit dijangka meningkat semula berbanding dolar AS pada minggu ini berikutan jangkaan bacaan inflasi AS yang perlahan pada Ogos -- dianggarkan sebanyak 8.0 peratus tahun ke tahun -- selain pendirian ECB yang menyokong kadar faedah tinggi.

Katanya sentimen pelabur turut meningkat seperti yang dapat dilihat daripada penurunan indeks turun naik di Chicago Board Options Exchange.


Selain itu, unit tempatan turut dijangka mendapat manfaat daripada potensi kenaikan jualan runcit domestik dan bacaan makroekonomi China.

"Ringgit dijangka meningkat sebanyak 0.01 peratus kepada 4.497 berbanding dolar AS," menurut Kenanga, sambil menambah ringgit dijangka meningkat semula dalam persekitaran potensi pemulihan terhadap minat untuk mengambil risiko di peringkat global.


Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2140/2173 daripada 3.2189/2209 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1509/1539 daripada 3.1670/1690 berikutan mata wang selamat itu hilang tarikannya dalam jangkaan bahawa dasar monetari ultra longgar Bank of Japan akan diteruskan.


Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.2215/2261 daripada 5.2249/2278 dan naik berbanding euro kepada 4.5289/5330 daripada 4.5361/5386 sebelum ini.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page