top of page
  • newsatmy

Ringgit terus lemah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR,22 Ogos: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, terus mencatatkan penurunan dari minggu lepas apabila tumpuan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat berikutan kemungkinan satu lagi kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.


Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4830/4860 berbanding dolar AS daripada 4.4760/4795 pada Jumaat.


Dalam nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata ringgit merosot sebanyak 0.7 peratus kepada RM4.478 pada minggu ke minggu pada Jumaat lepas walaupun kemerosotan itu tidak begitu mendadak berbanding mata wang utama dan serantau lain.

"Pelonggaran dasar oleh People's Bank of China baru-baru ini dan pada tahap tertentu, pertumbuhan yang lembap di China turut membawa kepada penyusutan nilai ringgit dan mata wang serantau," katanya.


MIDF Research berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 22 Julai lepas memberi petunjuk bahawa Fed terus komited untuk menurunkan inflasi kepada sasaran inflasi jangka panjang sebanyak 2.0 peratus.


"Kenyataan terkini daripada penggubal dasar Fed turut menunjukkan bahawa satu lagi kenaikan kadar yang besar dijangka dipertimbangkan pada mesyuarat FOMC yang akan datang pada 22 Sept 2022," katanya.


Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.4951/4981 daripada 4.5069/5104 pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.1949/1984 daripada 5.3126/3167 sebelum ini.


Ia turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2642/2666 daripada 3.2767/2795 pada Jumaat dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2152/2178 daripada 3.2225/2254 sebelum ini.

– Bernama

Comments


bottom of page