RUAG Malaysia dijenamakan semula sebagai Global Component Asia
28 Julai 2021
Global Systémes Asia Sdn Bhd (GSA) telah memperoleh operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebuah kumpulan teknologi dari Switzerland, RUAG International di Malaysia pada Jun lalu.
Kini setelah proses pemerolehan selesai, RUAG Malaysia dijenamakan semula sebagai Global Component Asia Sdn Bhd atau GCA.
Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, pencapaian yang pesat dalam 30 hari pertama telah memperlihatkan pemain industri aeroangkasa kagum dengan GCA kerana syarikat ini berada dalam posisi keperluan untuk meningkatkan 70 peratus tenaga kerja dan 25 peratus fasiliti kemudahan penyelenggaraan.
Pihaknya juga mempunyai strategi yang sangat jelas berikutan pengambilalihan RUAG.
"Tumpuan kami adalah gabungan bersepadu dengan tenaga kerja sedia ada RUAG serta memastikan penawaran perkhidmatan dan kemampuan kami dalam kelangsungan perniagaan berjalan dengan lancar.
"Kami juga tidak akan berkompromi dalam memastikan perkhidmatan pelanggan sedia ada sentiasa berada pada tahap yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pemindahan kemahiran dan pengetahuan dari RUAG serta portfolio pelanggan sedia ada akan menjadi pemacu untuk GCA manawarkan portfolio perkhidmatan yang cukup menyeluruh dalam industri ini.
"Kelancaran proses integrasi ini juga membolehkan kami beroperasi lebih awal daripada yang dijangkakan dan kini berada dalam kedudukan perniagaan yang kukuh untuk terus maju ke hadapan dan mengembangkan bahagian pasaran kami di Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Component Asia Sdn Bhd berkata, Syahrul Amir Zaki, pemerolehan, penyatuan kepakaran serta kemampuan komprehensif ini menjadikan GCA sebagai komponen MRO yang diiktiraf secara global, terutama dalam peralatan starter-generator dan sistem pencahayaan pesawat, helikopter dan juga turboprop serantau.
"GCA juga mempunyai kepakaran yang dipertingkatkan dalam spektrum alternator generator dan sistem pencahayaan sedia ada serta keupayaan dalam bidang produk baharu seperti penggerak hidraulik dan kawalan servo.
"Pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) GCA juga sedang membangunkan portfolio berinovasi tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi," kata beliau.
Pihaknya juga berhasrat menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai 19.7 juta.
"Kami juga ingin membangunkan pasaran teras syarikat ini melalui perkembangan perniagaan sedia ada di negara-negara serantau," tambahnya lagi.
Comments