• newsatmy

Segera salur bantuan kepada perusahaan sosial, jangan hanya 'cantik' di kertas

16 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Usahawan perusahaan sosial mahu pembuat dasar mengubah pemikiran terhadap sektor berkenaan dan segera menyalurkan bantuan kepada mereka yang teruk terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Drop & Wash, Zarina Ismail berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan bantuan dan kehidupan bukan sahaja kepada pekerja, malah komuniti.


"Pembuat dasar perlu ubah pemikiran mereka sekarang. Jadi mereka boleh salurkan bantuan supaya kami dapat membantu komuniti sekeliling, bukan sahaja komuniti di bawah naungan kami, malah sekeliling kami.


"Kami bukan sahaja (operasi perusahaan) angkat dan cuci sahaja, malah untuk pelarian, B40. Kami juga mempunyai rangkaian di seluruh Malaysia. Bukan sahaja perusahaan sosial. Kami memerlukan bantuan untuk salurkan kepada komuniti. Komuniti macam mana nak survive tanpa bantuan," katanya dalam Niaga AWANI pada Rabu.


Ujarnya, pembuat dasar perlu menukar cara perolehan dana kepada usahawan perusahaan sosial dengan lebih praktikal dan bukan hanya 'cantik' di kertas semata-mata.


"Jadi mereka perlu turun padang dan mendengar keluhan kami kenapa kami perlukan dana berkenaan sekarang dan bukan enam bulan kemudian. By the time enam bulan, kami sudah pupus.


"Sekarang ini sebagai perkhidmatan perlu kami masih lagi bertahan, bagaimana dengan mereka di kampung-kampung mereka tidak boleh berkembang sekarang ini," tambahnya.


Turut senada, Pengasas Masala Wheels, Kuhan Pathy berharap kerajaan dapat memudahkan bantuan yang disediakan dengan cara mengurangkan birokrasi.


"Mengenai kelangsungan perniagaan, kita ada ekosistem kat Malaysia kita ada dana PRIHATIN, PEMERKASA, dan banyak lagi. Semua dana ini sudah diumumkan, tetapi birokrasi sebenarnya melambatkan proses keseluruhannya," ujarnya.


Justeru, beliau akan membawa isu berkenaan kepada Majlis Tindakan Ekonomi supaya pihak atasan mendengar apa masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi.


"Saya lihat pembuat dasar yang tengah memantau sekarang ini ramai yang tidak mempunyai feel of akar umbi. Akar umbi sekarang kita fokus kepada meneruskan hidup.


"Jangan hanya 'cantik' di kertas. Yang banyak paling terkesan ialah sustainability. Kalau perusahaan sosial tak sustainable, kita tidak akan beroperasi sehingga hari ini," katanya.


Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Tukang Jahit, Yap Sue Yii, mencadangkan agar syarikat-syarikat besar turut membantu perusahaan sosial melalui pemberian insentif-insentif tertentu selain bantuan kerajaan.


"Sekarang sektor kerajaan menolong perusahaan sosial, dan kami adalah orang yang turun padang untuk membantu mereka yang memerlukan.


"Namun, bagaimana dengan syarikat-syarikat besar? Kami berpendapat bahawa perlu dibantu dengan memberikan insentif," jelasnya.


Insentif berkenaan, menurut Sue Yii, dapat membantu perusahaan sosial yang turut akan memberi manfaat secara bersama.



--Awani