top of page
  • newsatmy

Sime Darby jual kepentingan dalam E&O

29 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung Sime Darby Bhd, Sime Darby Nominees Sdn Bhd akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam Eastern & Oriental Bhd (E&O) pada harga RM93.5 juta atau 60 sen sesaham.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata langkah untuk melupuskan sebanyak 10.89 peratus kepentingan dalam kumpulan pemaju hartanah yang berpusat di Pulau Pinang itu dengan mengadakan perjanjian penjualan saham dengan pemegang saham tunggal terbesar E&O, Amazing Parade Sdn Bhd, hari ini.


Ia berkata, pelupusan itu seiring dengan rasionalisasi aset bukan teras yang sedang berjalan untuk menjana hasil aset bukan terasnya.


"Langkah pelupusan dijangka tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, dan tahap kadar hutang Sime Darby untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2021," katanya


Konglomerat perdagangan itu berkata, jumlah hasil akan diterima oleh Sime Darby Nominees selepas pelupusan kepentingan itu selesai pada 30 Mac 2021.


Sime Darby ditutup satu sen lebih rendah pada harga RM2.40 di Bursa Malaysia hari ini dengan 3.96 juta saham diniagakan.


-BERNAMA

bottom of page