top of page
  • newsatmy

SKMM komited realisasi hasrat kerajaan pacu ekonomi digital


KUALA LUMPUR 25 Feb: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus komited dalam memperkasa kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital dalam memacu ekonomi digital negara.


Dalam satu kenyataan, agensi itu menyambut baik mandat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang akan mengutamakan kemudahan Internet untuk rakyat dan merealisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital susulan pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat.


Ini merangkumi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G, inisiatif capaian Internet di Program Perumahan Rakyat (PPR), pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi), peruntukan Skim Geran Pendigitalan PKS dan usaha membanteras scam menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Usaha pembangunan rangkaian 5G sedang giat dijalankan di seluruh negara, dan telah melepasi sasaran awal iaitu 50 peratus dan disasarkan untuk ditingkatkan kepada 80 peratus menjelang akhir tahun.


Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pula akan terus memperkasakan peniaga kecil dengan bantuan pengetahuan ICT dan e-Dagang, dengan satu PEDi disasarkan di setiap kawasan DUN.


Sementara itu, inisiatif geran padanan sehingga RM5,000 yang diterajui bersama oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), akan dinikmati oleh PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.


Dalam pada itu, SKMM juga akan bekerjasama dalam mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam usaha untuk menangani masalah scam. Ia akan turut membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Comments


bottom of page