top of page
  • zaman

Syor kerajaan wujudkan Polisi Laluan Hijau khas PMKS - MPN


KUALA LUMPUR,16 OKT: Kerajaan disyor mewujudkan Polisi Laluan Hijau (PLH) khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memastikan mereka mampu menyokong proses pemulihan negara pasca pandemik COVID-19.


Menurut Ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN) Datuk Michael Kang, PLH khas berkenaan dilihat akan membantu mengurangkan pelbagai kerenah birokrasi yang perlu dihadapi PMKS dalam membuat sebarang permohonan.


Katanya, ia turut membantu PMKS menangani masalah kekurangan tenaga kerja asing yang amat diperlukan ketika ini untuk mengelakkan perniagaan mereka terjejas. “Contohnya, mereka (PMKS) berdepan kekurangan tenaga kerja asing, boleh terus memohon dan kerajaan boleh meluluskan permohonan mereka dengan cepat sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Apabila PMKS memohon 100,000 tenaga kerja asing, secara automatik lulus 50,000 terlebih dahulu. Selebihnya pula boleh dilihat dari segi dokumentasi sama ada mengikut syarat-syarat tertentu dan meluluskannya. Ini boleh mempercepatkan kemasukan tenaga kerja dan PMKS boleh meneruskan perniagaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media PMKS di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, baru-baru ini.

Michael menambah, sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima untuk semua sektor sehingga September 2022 dan 467,223 (20.5 peratus) kuota telah diluluskan.

“Sehingga September 2022, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk. Difahamkan, bulan ini akan masuk lagi 100,000 hingga 200,000 pekerja asing.

“Kita kekurangan 1 juta lagi pekerja asing, sekurang-kurangnya 500,000 lagi baru akan cukup untuk membantu PMKS,” katanya.


Selain itu, PLH khas itu juga akan membantu kelangsungan PMKS dalam mendepani cabaran kecairan aliran tunai dan pembiayaan.


Beliau berkata, ramai pengusaha PMKS ketika ini mahu melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka namun terbatas disebabkan oleh kekangan pelaburan.

“Kita perlukan PLH khas ini dan kelulusan perbelanjaan serta ‘pembiayaan istimewa’ sekurang-kurangnya satu tahun.


“Meskipun PMKS ini mempunyai rekod negatif dua tahun sebelumnya tetapi jika mereka inginkan melaksanakan pendigitalan, dapatkan pinjaman dari bank dan diluluskan 100 peratus, bukan 75 peratus dan selebihnya perlu menambah dana sendiri,” ujarnya.


Untuk rekod, MPN telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya satu Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber Manusia bagi meneliti permasalahan itu dengan kadar segera.


Dua syor turut telah dikemukakan kepada kerajaan dalam menangani permasalahan kecairan aliran tunai dan pembiayaan melalui penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Ia termasuk mengesyorkan pihak bank diberi kebenaran untuk meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) kepada PMKS yang memerlukannya.


Astro AWANI

Comments


bottom of page