top of page
  • newsatmy

The Fed tingkat kadar faedah 0.25 peratus

17 Mac 2022

KUALA LUMPUR: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) meningkat kadar faedah kali pertama sejak 2018.


Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengumumkan, bank pusat itu meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus serta membayangkan kemungkinan akan ada enam peningkatan kadar untuk tahun ini.


Sehubungan itu, penganalisis melihat The Fed mungkin akan meningkatkan kadar faedah sehingga 2 peratus menjelang akhir 2022, bersamaan 0.25 peratus bagi setiap mesyuarat FOMC.

Pengerusi The Fed Jerome Powell berkata, ekonomi AS kini kukuh untuk menerima peningkatan kadar faedah termasuk data pekerjaan, gaji dan inflasi.


The Fed dalam pengumuman sama menjangkakan inflasi akan terus meningkat namun kembali menyusut kepada 4.2 peratus menjelang akhir tahun, jauh melepasi unjuran normal 2 peratus oleh bank pusat itu.


Sehubungan pengumuman itu, Wall Street menyaksikan rali dengan tiga indeks utama merekodkan peningkatan pada penutup Rabu.


Powell pada masa sama berkata, sukar untuk meramal kesan perang di Ukraine terhadap ekonomi negara itu namun ia sudah pasti menjejaskan harga komoditi dunia.


Pengumuman The Fed ini dijangka disusuli peningkatan faedah di negara lain di dunia, termasuk Malaysia.


Bagi Malaysia, penganalisis menjangkakan satu peningkatan kadar faedah akan berlaku akhir tahun ini, sekali gus menjadikan kos pinjaman lebih mahal.


bottom of page