top of page
  • newsatmy

Tunku Mahmood Fawzy dilantik Pengerusi AirAsia X


KUALA LUMPUR,2 Ogos: AirAsia X (AAX) melantik Tunku Datuk Mahmood Fawzy sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah baharu, berkuat kuasa serta-merta.


Pelantikan itu dibuat selepas pengerusi sebelumnya, Tan Sri Rafidah Aziz yang mengumumkan persaraannya daripada lembaga pengarah pada 1 Julai lalu selepas memegang jawatan tersebut selama sembilan tahun sejak 2013.


Tunku Mahmood Fawzy pada mulanya menyertai AAX sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas pada 1 Julai 2022.

Menerusi pelantikan baharu ini, beliau akan memberi tumpuan dalam memacu strategi pertumbuhan korporat dan menawarkan kepakaran kepada ahli lembaga pengarah dan pasukan kepimpinan syarikat.


Pengasas Bersama dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX Tan Sri Tony Fernandes berkata pihaknya mengalu-alukan pelantikan Tunku Datuk Fawzy sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah baharu.


"Beliau membawa kepakaran dan pengalaman yang luas termasuk sebagai ahli lembaga pengarah dan pengerusi dengan rekod prestasi selama 30 tahun yang kukuh dalam peranan kepimpinan antarabangsa merangkumi pelaburan korporat, kewangan dan banyak lagi.

"Keputusannya untuk menyertai ahli lembaga AAX adalah bukti masa hadapan AAX yang kukuh dan sokongan padu oleh semua ahli berkepentingan kami.

“Dengan pelantikan ini, kami akan dapat menggabungkan kekuatan syarikat yang diterajui oleh usahawan terkemuka dan memacunya ke arah tadbir urus korporat yang lebih kukuh.

“Bagi pihak ahli lembaga pengarah lain dan pasukan kepimpinan AAX, saya ingin sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Rafidah atas kepimpinan beliau yang tiada tandingan sepanjang sedekad yang lalu," katanya.


Menurut Tony, dalam usaha AAX untuk kembali memulakan perkhidmatan dalam pasaran antarabangsa utama dan baharu, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Tunku Fawzy untuk memacu AAX untuk pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang berdaya maju.


Sementara itu,Tunku Fawzy berkata beliau berbesar hati untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah AAX dan bekerjasama dengan teraju utama syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh.

“Ini adalah tempoh yang menarik untuk AAX dan saya berharap untuk terus bekerjasama dengan pasukan kepimpinannya bagi meningkatkan visi dan strategi jangka panjang AAX,” katanya.


Σχόλια


bottom of page