• newsatmy

Ucrest meterai MoU urus pengeluaran vaksin Sputnik V Rusia


10 April 2021 KUALA LUMPUR: UCrest Bhd merancang untuk menyelia kontrak pembuatan vaksin Sputnik V Rusia di Asia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dana kekayaan negara Russian Direct Investment Fund (RDIF).

Di bawah MoU itu, syarikat akan mengenal pasti, memperakui dan menguruskan pengeluar kontrak untuk menghasilkan vaksin COVID-19 untuk RDIF, kata penyedia perkhidmatan kesihatan mudah alih dan hospital awan itu. RDIF bertanggungjawab untuk pengkomersialan Sputnik V yang dibangunkan oleh Gamaleya National Research Institute of Epidemiology and Microbiology. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UCrest berkata pihaknya bertanggungjawab untuk mengenal pasti, mengatur dan menyelia pembuatan kontrak di Asia untuk vaksin Sputnik V di pelbagai kemudahan pembuatan yang sesuai.

Sementara itu, RDIF akan bertanggungjawab untuk pemindahan teknologi dan pembelian 100 peratus pengeluaran tersebut.

"RDIF akan membeli daripada UCrest dan komited untuk mengambil atau membayar vaksin yang dihasilkan," katanya.

Menurut UCrest, MoU itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham.

-- BERNAMA