top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

UNI-MLC sambut baik cadangan insentif cukai kepada syarikat laksana program antirasuah

15 Ogos 2021

MAJLIS Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik saranan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang mencadangkan supaya Kerajaan memberi pelepasan cukai secara automatik kepada syarikat atau organisasi yang melaksanakan program pencegahan dan pendidikan rasuah.


Cadangan yang dikemukakan itu perlu dilakukan dengan segera. UNI-MLC berharap insentif ini akan diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini.


UNI-MLC menyatakan bahawa insentif dalam bentuk kewangan ini akan membantu mengurangkan beban yang dialami hampir kesemua industri ekoran pandemik COVID-19 sekarang, sekali gus membantu meningkatkan pematuhan Seksyen 17A, Akta SPRM 2009, yang berkaitan dengan liabiliti korporat.


UNI-MLC berpandangan bahawa sementara pihak kerajaan bertegas dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan, pada masa yang sama perlu ada galakan dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan kadar pematuhan dan kesedaran dalam kalangan rakyat, dan dalam kes ini pihak swasta dan industri.


Kami juga menyambut baik agenda Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang mencadangkan pewujudan polisi bagi membolehkan pelepasan cukai kepada mana-mana organisasi yang menyumbang kepada usaha pencegahan rasuah.


Pada masa yang sama, Kerajaan wajar mempertimbangkan bantuan kewangan seperti geran dan insentif kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan program antirasuah.


Ini bermakna usaha sokongan perlu dipelbagai dan diperluaskan kepada semua entiti bagi membolehkan usaha membanteras mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Salam hormat.



DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC)

bottom of page