• newsatmy

Remaja bawa pulang simpanan tunai BSN SSP bernilai RM1 juta

7 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Remaja berusia 17 tahun dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang menjadi jutawan termuda dengan membawa pulang simpanan tunai BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta.


Bantuan ibu bapanya yang memulakan simpanan secara konsisten bagi tujuan pendidikan itu membawa hasil yang cukup bermakna kepada remaja tersebut.


Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN), Mujibburrahman Abd Rashid berkata pihaknya terus komited menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda di negara ini.


Beliau berkata, usaha berterusan dilaksanakan BSN termasuk menambah baik produk flagshipBSN SSP dari semasa ke semasa.


“Memahami keadaan yang mencabar ketika ini, BSN terus menggalakkan orang ramai menyimpan dalam BSN SSP, produk simpanan yang memberi peluang untuk mereka memenangi RM1 juta dan pelbagai ganjaran lumayan yang lain.


“Dalam pada itu, orang ramai juga boleh memaksimumkan simpanan melalui BSN SSP Edisi Khas yang menawarkan kadar keuntungan sehingga 1.9 peratus setahun.


“Menerusinya, kita menawarkan kebaikan tiga dalam satu iaitu menyimpan, peluang memenangi hadiah dan memperoleh kadar keuntungan simpanan yang tinggi,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Jumaat.


Pada tahun ini, BSN menawarkan hadiah bernilai lebih RM30 juta untuk lebih 19,000 pemenang.


Di samping itu juga, khas bagi bulan Jun dan Disember, dua orang pemenang bakal diumumkan sebagai jutawan berbanding hanya seorang pemenang pada bulan-bulan yang lain.


Sehingga Mei lalu, BSN merekodkan empat juta penyimpan SSP dengan nilai simpanan berjumlah RM4.1 bilion selain mencatatkan seramai 44,000 penyimpan baharu.