top of page
  • newsatmy

Untung bersih MyEG meningkat kepada RM398.70 juta pada tahun kewangan 2022


KUALA LUMPUR 28 Feb: Keuntungan bersih MyEG Services Bhd (MyEG) pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 (tahun kewangan 2022) melonjak 26.2 peratus kepada RM398.70 juta daripada RM316.01 juta pada tahun sebelumnya.


Perolehan, bagaimanapun, susut 10.11 peratus kepada RM651.18 juta daripada RM724.41 juta sebelum ini berikutan permintaan yang rendah terhadap perkhidmatan kuarantinnya.


Pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (tahun kewangan 2023), MyEG menjangka untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu, terutamanya blockchain atau Web 3.0, di Malaysia dan di peringkat global, untuk memacu pertumbuhan organiknya pada tahun kewangan 2023. "Dengan platform blockchain Lapisan 1, iaitu Zetrix, secara dalam talian, terdapat potensi yang besar bagi MyEG untuk mengkomersialkan perkhidmatan inovatif apabila Web 3.0 diterima pakai secara meluas.

"Selain itu, Zetrix juga telah disepadukan dengan platform blockchain nasional China, iaitu 'Xing Huo' yang akan memudahkan perdagangan rentas sempadan dan ia akan menjadi saluran untuk kumpulan ke pasaran global," katanya.


MyEG berkata Lembaga Pengarah optimis secara berhati-hati bahawa prospek jangka panjang bagi MyEG kekal positif kerana ia terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan di peringkat global.


Katanya dividen akhir sebanyak 1.17 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, telah disyorkan, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat pada mesyuarat agung tahunan yang akan datang.

"Kelayakan dividen dan tarikh pembayaran akan ditentukan kemudian," katanya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page