top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

USAHAWAN cadang beberapa langkah termasuk moratorium bantu IKS

24 Jun 2021

GEORGE TOWN: Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang (USAHAWAN) mencadangkan beberapa langkah kepada kerajaan negeri bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri itu yang terkesan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.


Presidennya, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa hampir kesemua usahawan di Pulau Pinang sedang menghadapi tekanan dan memerlukan pertimbangan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan beberapa pendekatan bagi membantu mereka yang sedang bergelut ketika pandemik ini.


Beliau berkata antara cadangannya ialah pemberian moratorium secara automatik kepada usahawan, sepertimana yang dilaksanakan semasa PKP 1.0 tahun lepas selain daripada subsidi upah dilanjutkan hingga Disember 2021.


"USAHAWAN turut mencadangkan agar pengecualian atau pengurangan sewa daripada pihak agensi kerajaan dan pihak swasta hingga Disember ini di samping pemberian geran khas untuk semua usahawan IKS bagi membaik pulih atau membangunkan semula perniagaan yang terjejas.


"Selain itu, diharapkan pihak berkuasa tempatan (Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai) dapat mengeluarkan lesen perniagaan sementara kepada penjaja tepi jalan dan diberikan lesen sepenuhnya jika perniagaan diteruskan selepas PKP ditamatkan, kami juga memohon agar pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi pengurangan bil elektrik sebanyak 30 peratus kepada semua usahawan IKS," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.


Muhamad Farid berkata agensi dan pihak yang berkenaan lain juga boleh membantu meringankan beban para usahawan dengan memberikan pengecualian atau pengurangan cukai pendapatan individu dan syarikat, melonggarkan syarat-syarat pinjaman mudah dengan kadar faedah bawah tiga peratus, menyediakan talian Internet percuma kepada semua usahawan kecil dan memperbanyakkan program kesedaran kepada usahawan baharu.


Tambahnya, laporan Tinjauan Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) yang melibatkan seramai 168,182 responden berumur 15 tahun ke atas daripada pelbagai sektor baru-baru ini, telah menunjukkan 46.6 peratus responden bekerja sendiri (tanpa mengira umur) telah kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik.


Muhamad Farid berkata berdasarkan dapatan tinjauan itu juga, jumlah kehilangan pekerjaan disebabkan krisis COVID-19 ini dijangka mencecah 2.1 juta.


Katanya, impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 terhadap sektor swasta, industri dan pekerjaan turut memberi kesan yang besar di negara ini.




-- BERNAMA

Comments


bottom of page