top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Wakil rakyat perlu guna tempoh moratorium kumpul dana bantu rakyat - Penganalisis

3 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Tempoh pelaksanaan moratorium bermula bulan ini harus digunakan wakil rakyat sepenuhnya untuk membentuk tabungan berpusat di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi mengumpul dana awam membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19.


Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia seharusnya menjadi fokus keutamaan setiap ahli politik demi kebajikan rakyat pada masa kini.


Jelasnya, tabungan berpusat dengan dana dari bantuan kerajaan Pusat dan tabungan awam bagi mereka yang ingin menyumbang sepanjang tempoh moratorium boleh diselaraskan di bawah seliaan jawatankuasa Parlimen dan DUN wakil rakyat terbabit dengan penyertaan badan kebajikan atau individu setempat.


"Tempoh perlaksanaan morotarium selama enam bulan ini boleh digunakan untuk bersama membantu mereka yang memerlukan bantuan dengan tabungan awam berpusat oleh wakil rakyat di kawasan masing-masing.


"Tabungan berpusat boleh digunakan untuk menyediakan bank makanan (food bank) secara digital atau fizikal dengan kerjasama syarikat e-hailing tempatan.


"Satu perisian pengagihan serta penghantaran makanan mengikut isi rumah yang memerlukan dengan bekalan dari peniaga makanan tempatan boleh dibangunkan oleh wakil rakyat terbabit di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.


Ia meliputi tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.


Dalam pada itu ujar Noor Nirwandy, ia juga boleh membantu meningkatkan kitaran ekonomi setempat khususnya peniaga makanan di kawasan tersebut.


"Wakil rakyat juga seharusnya mempunyai data golongan yang terkesan akibat dari pandemik COVID-19 agar pemerhatian dan bantuan berkala boleh terus diberikan kepada mereka.


"Wakil rakyat harus lebih inovatif dan menjaga kepentingan rakyat di kawasan masing-masing dan bukan hanya terlibat dalam pertelingkahan politik secara keterlaluan.


"Ahli Parlimen dan DUN perlu mendapatkan maklumat individu di kawasan mereka yang dikuarantin secara kendiri agar mereka boleh memantau keadaan individu terbabit secara konsisten bagi mengelakkan kes kematian mengejut brought in dead pesakit COVID-19 yang berlaku di kawasan masing-masing," jelasnya lagi.


Tambahnya, pembekalan mesin oximeter dan pembekalan oksigen kepada golongan yang menjalani kuarantin secara kendiri juga perlu diusahakan semua wakil rakyat pada ketika ini.


"Dalam tempoh sukar dan jangkitan varian Delta yang lebih berbahaya kesungguhan ahli politik khususnya ahli Parlimen dan DUN agar lebih proaktif di kawasan masing-masing amatlah diharapkan oleh masyarakat," katanya.



--Awani

Comments


bottom of page