top of page
Writer's pictureNizam

Wanita Bangkit Berniaga bantu wanita berdepan tekanan-Rina Harun

28 November

PUTRAJAYA: Peserta program Wanita Bangkit Berniaga bukan hanya meneroka peluang pendapatan melalui perniagaan, malah mampu menjadi kelompok yang menghulurkan bantuan kepada wanita lain yang berdepan pelbagai cabaran dan tekanan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata wanita berdepan pelbagai cabaran, malah sebelum wabak COVID-19 melanda negara dan memerlukan bantuan serta sokongan pihak lain. "Ada yang hilang pekerjaan, bercerai, ditinggalkan suami kemudian berdepan tekanan hidup dan mental dari keadaan sekeliling. "Kita perlu membantu wanita ini kerana mereka memerlukan sokongan. Tidak ada sesiapa yang menduga mereka ini akan berdepan dengan cabaran dalam kehidupan sehingga ada yang mahu membunuh diri. "Justeru, wanita yang terbabit dengan program Wanita Bangkit Berniaga diharapkan bukan hanya bangkit berniaga tetapi juga menyokong wanita yang lain," katanya. Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Wanita Bangkit Berniaga anjuran KPWKM dengan kerjasama RichWorks International Sdn Bhd secara dalam talian, semalam. Mengulas lanjut, Rina berkata, program Wanita Bangkit Berniaga melahirkan wanita yang lebih kreatif, inovatif, berilmu dan bersikap positif untuk berjaya dalam bidang yang diceburi selain kehidupan.

Beliau berkata, idea mewujudkan program Wanita Bangkit Berniaga itu tercetus daripada pengalamannya sendiri melihat kegigihan dan kepayahan ibunya berniaga meneruskan kehidupan membesarkan enam orang anak selepas berpisah dengan bapanya. "Saya bersyukur kerana ibu saya ada semangat kental dan kuat. Kalau ketika itu beliau berputus asa, saya tak rasa saya akan berada di sini hari ini. Wanita bangkit ini saya pelajari daripada ibu saya," katanya. Program Wanita Bangkit Berniaga itu disertai 40,000 peserta, berbanding sasaran awal 2,000 peserta.


Comments


bottom of page