• newsatmy

Zeti Aziz letak jawatan Pengerusi Kumpulan PNB

30 April 2021

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah secara rasmi menulis surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat beliau tidak memperbaharui tempoh jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).


Menurut kenyataan dikeluarkan PNB hari ini, Zeti berhasrat melepaskan jawatannya setelah menamatkan penggal tiga tahunnya esok (30 April).


"Kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan PNB selama tiga tahun ini ialah satu penghormatan buat saya, di mana PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.


"Hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.


"PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami," kata Zeti dalam kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Pengerusi Kumpulan baharu akan diputuskan oleh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) dalam masa terdekat.


Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Pengerusi YPB.


-Astro Awani