top of page
newsatmy

Zon Ekonomi Khas Pagoh, tarik RM200 juta komitmen pelaburan - PM

27 Mac 2021 MUAR: Wilayah Utara Johor bakal menjadi sebuah zon ekonomi berimpak tinggi menjelang 2045 dengan tertubuhnya kawasan pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini, kerajaan telah berjaya menarik lebih RM200 juta dalam bentuk komitmen pelaburan pertama untuk fasa pertama zon itu.


Katanya Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi di Pagoh.


"Saya telah menghubungi pemegang saham, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, beliau sahkan bahawa DRB-HICOM akan membuat pelaburan di Zon Ekonomi Khas ini. Dengan pembinaan kilang kedua membuat bahagian komponen Proton yang tentunya melibatkan pelaburan yang besar.


"Syed Mokhtar yang juga pemegang saham Malakoff turut mengesahkan akan melabur di kawasan ini menerusi pembuatan panel solar. Saya berharap pelaburan ini akan dibuat pada fasa pertama.


"Bagi menarik lebih banyak FDI dan DDI, Kerajaan komited untuk menyediakan suasana yang kondusif melalui beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik minat pelabur asing dan tempatan yang berkelayakan untuk merangsang pertumbuhan pesat di Zon Ekonomi Khas Pagoh fasa pertama.


"Untuk tujuan tersebut juga, Kerajaan telah meluluskan permohonan di bawah pakej galakan istimewa bagi Kawasan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa pertama yang menawarkan pengecualian cukai pendapatan, duti setem, dan cukai jualan selama lima tahun ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang disasarkan," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa Satu, Bandar Universiti Pagoh di sini, hari ini.


Jelas Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kerajaan juga akan memanjangkan insentif yang berkaitan kepada syarikat yang diiktiraf sebagai 'first mover company' yang mampu membawa aktiviti bernilai tinggi kepada kawasan Zon Ekonomi Khas Pagoh untuk pakej galakan istimewa ini.


Katanya zon ini juga bakal memberikan keutamaan kepada industri sasaran yang telah dikenal pasti.


"Ia termasuk industri berasaskan kayu dan perabot, tekstil, penghasilan makanan dan minuman, produk automotif Kejuruteraan, elektrikal dan elektronik dan juga pembuatan berasaskan teknologi hijau dan produk berasaskan pertanian.


"Untuk menyokong industri-industri, latihan tenaga kerja melalui Hab Teknologi dan Kilang Pengajaran khusus untuk pelaksanaan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) akan diwujudkan. Kolaborasi antara industri dan ahli akademik juga akan dipergiat bagi memperkasakan Zon Ekonomi ini," katanya lagi.


Perancangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh ini telah mengambil kira kadar pertumbuhan populasi di sekitar Pagoh dan dalam lingkungan 20km dari Pagoh yang dijangka akan meningkat kepada 450,700 penduduk dari 281,000 penduduk menjelang tahun 2030.


Zon Ekonomi Khas ini akan dibangunkan secara berfasa.


Fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh yang akan mengambil masa selama lima hingga tujuh tahun melibatkan kawasan seluas 850 ekar.


Ia terdiri daripada Kawasan Perindustrian seluas 430 ekar dan Pusat Keusahawanan seluas 420 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.1 bilion.

-BH Online

Comentarios


bottom of page